SEJARAH SMK. MEROTAI BESAR


SMK Merotai Besar ditubuhkan pada awal tahun 1980. Penubuhan SMK Merotai Besar ini adalah atas cadangan Kementerian Pendidikan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang bersekolah di kawasan yang tercicir kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke sekolah menengah di Tawau. Pada tahun 1980 hanya terdapat 106 pelajar dan 4 orang guru termasuk Pengetua. Pelajar-pelajar ini datangnya dari empat buah sekolah rendah iaitu SRK. Tiger, SRK. Merotai Kecil, SK. Merotai Besar dan SK. Kuala Merotai.

Ketika ditubuhkan, bangunan sekolah hanyalah menumpang di SK. Merotai Besar dan bersekolah di sesi petang. Pada awal 1981, satu tinjauan telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan untuk membuat bangunan sekolah ini sendiri. Pada awal tahun 1982, bangunan ini telah mula dibina. Pembinaan tersebut melibatkan 2 blok bangunan sekolah 2 tingkat, 3 blok flat kediaman guru, 1 blok rumah pekerja (4 unit), 1 rumah pengetua, sebuah padang permainan dan sebuah gelanggang bola keranjang.

Menjelang bulan April 1984, bangunan sekolah sudah mula digunakan. Pada bulan julai 1985, semua bangunan telah diserahkan oleh Pihak Pemborong kepada Jabatan Pendidikan  dan pada tahun itu juga pelajar telah bertambah dan bilangan pada ketika itu ialah 325 orang pelajar dan 17 orang guru.

Pada tahun 1985, penempatan di asrama telah di buka dan seramai 125 orang pelajar telah di pilih. Pelajar-pelajar ini berasal dari penempatan yang jauh seperti dari Luasong, Kalabakan, Brumas, dan Wallace Bay.

Pada tahun 1986, sebuah loji penapis air telah dibuka khas untuk sekolah ini dan masalah air telah dapat diatasi. Pada tahun ini juga, SMK. Merotai Besar telah membuka kelas tingkatan empat aliran sastera.


Sepanjang 40 tahun penubuhan SMK. Merotai Besar, sekolah telah muncul sebagai sekolah luar bandar yang dapat dibanggakan. Ini dapat dibuktikan dari segi pencapaian di bidang akademik dan ko-kurikulum yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Semoga kejayaan yang berterusan akan di capai oleh SMK. Merotai Besar.

Comments

Popular posts from this blog

ASAL-USUL NAMA TAWAU